Refinance ialah pertukaran pakej pinjaman sedia ada kepada pakej pinjaman baru yang tertakluk kepada terma, syarat dan kadar faedah baru yang lebih baik.

Contoh: Pada tahun 2005, Ali membeli rumah menggunakan pinjaman daripada Maybank. Dan, pada tahun 2010, beliau ingin membuat pinjaman baru yang ditawarkan oleh CIMB ke atas rumah sama yang dibeli pada tahun 2005 tersebut.

TUJUAN REFINANCE

1) Mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah

Refinance adalah salah satu platform terbaik untuk membuat perbandingan pakej-pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh pelbagai institusi kewangan dan memilih pakej pinjaman terbaik yang menawarkan kadar faedah lebih rendah berbanding dengan kadar faedah pinjaman sedia ada.

Contoh: Kadar faedah tetap pinjaman sedia ada ialah 5.0% setiap tahun. Dan, terdapat sebuah institusi kewangan yang menawarkan kaedah pinjaman pada kadar faedah 3.0% setiap tahun bagi Refinance. Sekiranya anda membuat Refinance dengan pakej pinjaman baru tersebut, terdapat pengurangan 2.0% kadar faedah yang perlu anda bayar pada setiap tahun. Misalannya, harga pasaran rumah bernilai RM300,000.00, anda telah jimat sebanyak RM6,000!

2) Memperoleh wang tunai lebihan

a) Kebiasaanya, ramai yang memilih untuk membuat Refinance bagi tujuan ini terutamanya bagi yang mempunyai masalah kewangan.

b) Wang tunai lebihan adalah beza antara baki hutang pinjaman sedia ada dan harga pasaran rumah.

Contoh:
• Harga pasaran semasa rumah anda bernilai RM300,000.00
• Anda masih mempunyai baki hutang dengan bank sebanyak RM30,000.00
• Anda berjaya memperoleh pinjaman semula 90% bernilai RM270,000.00
• Wang lebihan = RM270,000.00 – RM 30,000.00
= RM240,000.00
• Jadi, anda akan mendapat wang lebihan berjumlah RM240,000.00 untuk kegunaan sendiri.

c) Antara tujuan ramai memilih Refinance untuk mendapatkan wang lebihan ialah bagi membayar hutang-hutang sedia ada, perbelanjaan bulanan, kos penambahbaikan rumah, kos perubatan, modal perniagaan, dan pelbagai kegunaan peribadi lain

3) Bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah

Sekiranya anda membuat Refinance dengan memilih pakej pinjaman yang menawarkan kadar faedah lebih rendah berbanding pinjaman sedia ada dan memanjangkan tempoh pinjaman, sudah pasti ansuran bulanan yang perlu dibayar akan lebih rendah daripada sebelumya.

4) Memilih pakej pinjaman mengikut kemampuan kewangan semasa

Ini antara kelebihan Refinance, dimana anda boleh mengambil kira kemampuan kewangan semasa dalam memilih pakej pinjaman.

Sekiranya, keadaan kewangan semasa anda amat baik dan sangat stabil, anda boleh memendekkan tempoh pinjaman, misalannya daripada tempoh 30 tahun dipendekkan kepada tempoh 15 tahun.

Sekiranya, anda mempunyai komitmen yang terlalu banyak dimana anda ingin mengurangkan amaun ansuran bulanan salah satu komitmen sedia ada, anda boleh memanjangkan tempoh pinjaman, misalannya daripada tempoh 30 tahun dipanjangkan kepada tempoh 35 tahun.

Anda juga boleh memilih pakej pinjaman yang menawarkan kadar faedah tetap mahupun kadar faedah bolehubah. Kadar faedah tetap tidak berubah sepanjang tempoh pinjaman dan tidak mengikut kadar pasaran semasa. Manakala, kadar faedah bolehubah bergantung kepada kadar pasaran. Jadi, anda boleh membuat pilihan mengikut keadaan kewangan semasa.

5) Menyatukan kesemua hutang sedia ada

Refinance ialah platform terbaik untuk menyatukan semua hutang sedia ada misalannya hutang kad kredit dan hutang kereta ke satu akaun sahaja. Hal ini kerana pembiayaan rumah menawarkan kadar faedah yang lebih rendah, dimana ansuran bulanan untuk sekali pembayaran bagi kesemua hutang yang telah disatukan akan lebih rendah.

TIPS-TIPS REFINANCE

Di sini saya kongsikan beberapa tips yang anda boleh lakukan sebelum membuat Refinance:

• Membuat semakan kelayakan pinjaman
• Membuat semakan laporan CCRIS
• Bandingkan pakej-pakej pinjaman Refinance sedia ada
• Ketahui kos-kos pembiayaan Refinance
• Ketahui “lock in period” pinjaman asal
• Ketahui harga pasaran semasa rumah

Sekian,
Nurul Wahidah Kamarudin
Tetuan Izzati, Aqilah, Annisa & Associates

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *