PERJANJIAN SEWA

Kebiasaannya bila kita menyewa sesebuah rumah, sudah pasti para Penyewa akan menandatangani Perjanjian Sewa. Tetapi ada juga yang hanya menandatangani Perjanjian tanpa membaca dan memahami dulu Perjanjian tersebut. Adalah sangat-sangat penting untuk semua membaca dan fahami terlebih dahulu Perjanjian Sewa sebelum menandatanganinya, bukan kata Perjanjian Sewa sahaja, bahkan apa-apa saja perjanjian pun sebelum ditandatangani, kita perlu faham isi kandungannya. Jadi hari ini kami nak kongsikan perkara-perkara asas yang perlu ada dalam Perjanjian Sewa.

1) Maklumat Tuan Rumah dan Maklumat Penyewa

Kebiasaanya, ni antara maklumat-maklumat wajib yang perlu kita sertakan di dalam Perjanjian Sewa iaitu Nama penuh, No Kad Pengenalan, Alamat Surat Menyurat dan No telefon untuk dihubungi

2) Maklumat Hartanah yang disewa

Perjanjian Sewa juga perlu menyatakan secara terperinci samada Hartanah tersebut disewa sebagai satu unit ataupun mengikut bilik. Dan, maklumat-maklumat seperti No hakmilik lengkap Hartanah dan Alamat Hartanah perlu disertakan. Bagi kes sewaan beserta perabot, adalah perlu untuk Senarai Inventori disertakan bagi mengelakkan isu-isu berbangkit timbul di kemudian hari. Keadaan perabot ketika akhir sewaan sepatutnya berada dalam keadaan baik sebagaimana awal sewaan.

3) Terma-terma sewaan

Jumlah sewa yang perlu dibayar oleh Penyewa perlu disertakan dengan jelas di dalam Perjanjian Sewa termasuk cara pembayaran samada melalui tunai, cek atau dikreditkan terus ke akaun Tuan Rumah dan sebaik-baiknya maklumat akaun Tuan Rumah perlu dinyatakan sekali di dalam Perjanjian tersebut bagi memudahkan Penyewa.

Tuan Rumah dan Penyewa juga perlu bersepakat dalam menentukan tarikh akhir bayaran sewa dan menyatakan dengan jelas di dalam Perjanjian Sewa.

Dan, kebiasaanya Tuan Rumah juga akan menetapkan tempoh sewaan iaitu tempoh masa bermula sewa sehingga tamat sewa, misalannya untuk tempoh 1 tahun, 2 tahun dan sebagainya.

Terma bayaran deposit juga sangat penting untuk disertakan di dalam Perjanjian Sewa, di mana ianya merangkumi deposit pendahuluan, deposit keselamatan dan deposit utiliti. Deposit pendahuluan ini fungsinya untuk menjamin Tuan Rumah untuk tidak menyewa Hartanah kepada orang lain. Deposit keselamatan pula ialah jaminan buat Tuan Rumah sekiranya Penyewa ada melanggar mana-mana isi Perjanjian Sewa dan deposit tersebut tidak akan dikembalikan sekiranya berlaku perlanggaran terma-terma Perjanjian. Manakala, deposit utiliti pula akan digunakan bagi membayar tunggakan-tunggakan utiliti seperti api dan air pada akhir sewaan sekiranya ada, dan jika tiada tunggakan, deposit tersebut akan dikembalikan.

4) Terma dan Syarat Pembaharuan tempoh sewaan

Sekiranya Tuan Rumah ada menetapkan tempoh sewaan yang khusus, terma dan syarat bagi tempoh pembaharuan sewa perlu dijelaskan di dalam Perjanjian Sewa. Kebiasaanya, Tuan Rumah menetapkan untuk Penyewa menghantar notis sekurang-kurangya 1 atau 2 bulan lebih awal sebelum tamat tempoh sewaan dan terdapat juga situasi di mana Tuan Rumah menetapkan pembaharuan sewa boleh tertakluk kepada pihak mereka untuk menaikkan kadar sewaan. Jadi, amatlah penting untuk Penyewa meneliti Klausa ini sebaik mungkin sekiranya ada perancangan untuk memperbaharui tempoh sewaan.

5) Terma dan Syarat Penamatan awal Perjanjian sewa

Bagaimana pula jika ingin tamatkan sewa sebelum berakhirnya tempoh sewaan yang ditetapkan? Semuanya bergantung kepada perbincangan Tuan Rumah dan Penyewa. Apa yang penting, hasil perbincangan tersebut perlulah dimasukkan ke dalam Perjanjian Sewa. Ada Tuan Rumah yang tidak membenarkan sewaan ditamatkan sebelum tempoh akhirnya, jika ditamatkan juga oleh pihak Penyewa, segala bentuk deposit tidak akan dipulangkan. Dan ada juga Tuan Rumah yang menetapkan sewaan boleh ditamatkan awal tetapi Penyewa perlu memberi notis lebih awal 1 atau 2 bulan bagi melayakkan mereka mendaptkan semula deposit. Sekiranya Tuan Rumah inginkan pampasan sekiranya berlaku penamatan awal Perjanjian Sewa, jumlah jaminan perlu diturut sertakan di dalam Perjanjian tersebut.

6) Tanggungjawab Tuan Rumah dan Penyewa

Klausa ini amatlah penting dimana kedua-dua Tuan Rumah dan Penyewa perlu menyenaraikan tugas dan peranan masing-masing. Tuan Rumah perlu membuat semakan berkala Hartanah, memastikan penyelenggaraan rumah sewa berada dalam keadaan baik dan membuat baik pulih sekiranya perlu, dan memastikan membuat bayaran cukai tanah, cukai pintu dan insuran rumah. Manakala, Penyewa pula perlu patuh pada tarikh akhir bayaran sewa, membuat bayaran bil-bil utiliti tepat pada waktunya dan mematuhi segala peraturan dan larangan rumah sewa.

7) Peraturan dan larangan di rumah sewa

Klausa ini kebiasaanya ditetapkan oleh Tuan Rumah bagi memastikan Hartanah yang disewa sentiasa berada di dalam keadaan baik dan juga menjaga keharmonian jiran tetangga. Misalannya, menetapkan peraturan supaya tiada kerosakan yang dibuat pada Hartanah dan perabot di dalamnya, larangan membela haiwan peliharaan, larangan membawa masuk pasangan jika belum berkahwin, larangan membuat bising pada waktu tengah malam dan sebagainya.

8) Klausa ‘Default’

Klausa ini pula menjelaskan akibat dan kesan sekiranya berlaku perlanggaran terma-terma Perjanjian Sewa sama ada dari pihak Tuan Rumah mahupun Penyewa. Kedua-dua hak perlu diutamakan dan adalah sebaiknya juga untuk menyertakan cara penyelesaian antara dua pihak sekiranya berlaku perlanggaran Perjanjian sebelum membawa isu ini ke pihak berkenaan. Misalannya, denda bayaran lewat sewa, jumlah pampasan kepada Tuan Rumah sekiranya berlaku kerosakan, bentuk pampasan kepada Penyewa sekiranya Tuan Rumah melanggar hak privasi Penyewa dan sebagainya.

Setakat ini saja yang dapat saya kongsikan. Semoga pengetahuan ini dapat dikongsi bersama-sama. Moga kelak berjumpa lagi.

Sekian,
Nurul Wahidah Kamarudin
Tetuan Izzati, Aqilah, Annisa & Associates

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *