MENGAPA URUSAN PINDAHMILIK RUMAH SAYA PERLU MENDAPATKAN DUA JENIS KEBENARAN?

Ada beberapa kes di mana saya perlu terangkan kepada anakguam, mengapa dalam Perjanjian Jualbeli (SPA) ada tulis urusan jualbeli perlu mendapatkan dua kali kebenaran pindahmilik. Selalunya, anakguam hanya tahu mengenai kebenaran pindahmilik peringkat negeri atau yang sering mereka sebut sebagai ‘MB Consent’.

Mari, kita tengok apakah kebenaran atau ‘consent’ yang saya maksudkan.

A) Kebenaran Pindahmilik daripada Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS)

Biasanya kebenaran LPHS hanya diperlukan untuk hartanah yang disenaraikan atau diklasifikasikan sebagai kos rendah (low cost) atau sederhana rendah (medium low cost).

Bagaimana pemilik atau peguam nak tahu samada hartanah tersebut termasuk dalam kategori di atas?
1) Semak Perjanjian Jualbeli Asal (Principal SPA) sekiranya ada menyatakan bahawa hartanah tersebut adalah low cost atau medium low cost;
2) Semak keluasan hartanah dalam Perjanjian Jualbeli Asal (Principal SPA). Sekiranya luas di bawah 100 meter persegi, hartanah adalah low cost atau medium low cost;
3) Semak harga jualan hartanah dalam Perjanjian Jualbeli Asal (Principal SPA). Sekiranya harga di bawah RM 100,000.00, biasanya hartanah tersebut dikategorikan sebagai low cost atau medium low cost;
4) Semak samada Pemilik hartanah mempunyai pengecualian cukai taksiran (cukai pintu). Sekiranya pemilik tidak perlu membayar cukai tersebut, hartanah tersebut biasanya adalah low cost atau medium low cost.
Pemilik atau peguam mahupun Real Estate Negotiator (REN) juga bolehlah lawati laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di mana ada menyenaraikan ciri-ciri hartanah yang termasuk dalam senarai ‘low cost’ atau ‘medium low cost’.
Biasanya, peguam akan menulis surat memohon pengesahan dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum meneruskan permohonan memohon kebenaran pindahmilik dari Lembaga tersebut sendiri.

B) Kebenaran Pindahmilik daripada Pejabat Daerah dan Tanah (MB Consent)
Sekiranya hartanah tersebut adalah ‘Leasehold’ iaitu Pajakan mahupun Hakmilik Sementara, Pemilik Tanah harus mendapatkan kebenaran untuk memindahmilik hartanah tersebut kepada Pembeli daripada Pejabat Daerah dan Tanah.

Biasanya sebelum meneruskan permohonan kebenaran ini, peguam ataupun Pemilik harus memastikan kebenaran daripada LPHS telah diterima secara rasmi dan menghantar surat kebenaran LPHS tersebut bersama-sama dengan permohonan kebenaran Negeri (State Consent).

Beginilah situasi yang boleh saya gambarkan untuk memberi penjelasan mengapa proses pindahmilik perlu melalui dua peringkat Kebenaran. Biasanya kes pindahmilik bagi hartanah seperti ini akan memakan lebih masa berbanding kes pindahmilik yang memerlukan hanya satu kebenaran sahaja. Namun begitu, biasanya Completion Date mengikut SPA adalah tertakhluk kepada 3 bulan selepas mendapatkan kedua-dua Kebenaran di atas.

Semoga perkongsian hari ini memberi manfaat.

Sekian kata daripada peguam;

Nur Aqilah Zainal Abidin,
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Izzati, Aqilah, Annisa & Associates

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *