CARA-CARA MEMBACA GERAN

Dulu masa sebelum saya masuk belajar ke Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam, saya sering dengar perkataan ‘Geran’ apabila sudara-mara atau kawan-kawan ibubapa bersembang santai mengenai isu-isu hartanah.

“Dah boleh buat pecah geran ke tanah tu?”
“Macam mana geran boleh hilang pulak?”
“Kena ke pejabat tanah kot untuk mohon geran”

Macam-macam lagi dialog yang saya dengar mengenai Geran. Bila dah belajar Land Law, baru lah saya faham Geran adalah dokumen penting yang menunjukkan pemilikan seseorang atau syarikat ke atas sesuatu hartanah setelah nama mereka didaftarkan di Pejabat Tanah. Tapi nak tahu sesuatu tak? Sebenarnya Geran yang sebenar ada di Pejabat Tanah sahaja. Yang di rumah kita tu cuma Salinan. Kalau Bahasa orang putihnya Geran ialah Register Document of Title manakala yang kita simpan sendiri tu ialah Issue Document of Title (IDT).

Tapi tak apa, bukan tu yang paling penting kita nak kena tahu. Ada yang lebih penting iaitu pengetahuan tentang bagaimana nak baca ‘Geran’. Ilmu ini penting supaya kita kenal jenis sesuatu hartanah, kategori kegunaannya, dan siapa pemiliknya yang sebenar.

Dalam setiap Geran, terdapat beberapa bahagian iaitu:

Maklumat Hartanah

Dalam mukasurat pertama, biasanya akan tertera maklumat penting mengenai hartanah tersebut. Antara maklumat yang terkandung adalah seperti:

– Jenis hakmilik hartanah contohnya seperti “GRN” iaitu GERAN, HS(M) iaitu Hak Milik Sementara Mukim, “PN” iaitu Pajakan Negeri, dsb.

– Lokasi hartanah seperti Negeri/Daerah/Mukim/Bandar

– Keluasan hartanah mengikut berapa meter persegi

– Maklumat hartanah seperti samada hartanah tersebut adalah Tanah Rizab Melayu/ pegangan selama-lamanya/pegangan 99 tahun

– Tujuan tanah seperti hanya khusus sebagai ‘Bangunan Kediaman’ ataupun ‘Pertanian’ dsb.

Maklumat hartanah seperti Sekatan-Sekatan Kepentingan juga turut dilampirkan seperti:

– Hartanah tersebut tidak boleh dipindahmilik, digadai, dipajak tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negeri

– Hartanah tersebut hanya boleh dipindahmilik kepada Bumiputera sahaja

Rekod Ketuanpunyaan

Geran juga turut mengandungi Rekod Ketuanpunyaan iaitu nama pemilik hartanah tersebut. Namun, bukan semua nama yang tertera di atas Geran ialah Pemilik hartanah tersebut. Adakalanya, nama yang tertera di atasnya adalah nama pentadbir bagi hartanah tersebut.

Selain daripada nama pemilik, Geran juga akan menyatakan rekod urusan kaveat dan juga gadaian/menjamin wang pokok bagi sesuatu hartanah yang telah digadai oleh pemilik ke Institusi Kewangan apabila pemilik tersebut membuat urusan pinjaman wang daripada mana-mana institusi kewangan bagi membeli hartanah tersebut. Nama institusi kewangan akan dinyatakan di dalam Geran Bersama dengan Tarikh gadaian dibuat.

Plan dan Lokasi

Yang terakhir sekali, Geran turut menyatakan Plan dan Lokasi hartanah dengan lebih terperinci. Lukisan plan hartanah akan dilampirkan dalam Geran bersama ukuran seperti panjang dan lebar hartanah tersebut.

Membaca Geran nampak mudah namun tanpa ilmu yang cukup, seseorang mungkin boleh diperdayakan semasa dipelawa untuk menjual/membeli sesebuah hartanah. Oleh yang demikian, saya berharap perkongsian saya pada kali ini dapat memberi manfaat kepada pembaca, inshaa Allah.

Sekian kata daripada peguam,

Nur Aqilah Zainal Abidin,
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Izzati, Aqilah, Annisa & Associates

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *