Kos sampingan seperti cukai dan bil utiliti yang lebih tinggi apabila memiliki kediaman berstatus komersial mungkin menyebabkan pembeli tertanya-tanya sama ada rumah mereka boleh diubah statusnya.
Sememangnya, status hartanah komersial boleh ditukar kepada status kediaman oleh pemiliknya jika hartanah tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan kediaman.
Perkara tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 124 dan 124A Kanun Tanah Negara (KTN).
Setiausaha Agung Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Nurul Izzati Ahmad Nasaruddin berkata, secara teori, pemilik hartanah jenis komersial boleh menukarkan kategori kegunaan hartanah jenis ini kepada jenis kegunaan bangunan kediaman.
Katanya, pemilik boleh membuat permohonan menukar syarat tanah kepada pihak berkuasa temapatan dan pihak berkuasa negeri berserta pembayaran premium yang telah ditetapkan oleh badan-badan berkaitan.
“Namun secara hakiki, proses menukar syarat kegunaan hartanah komersial kepada hartanah jenis kediaman ini mungkin akan sukar dilaksanakan oleh pemilik secara individu.
“Ini memandangkan proses ini sebenarnya turut melibatkan perubahan kepada pelan bangunan sedia ada bagi memastikan ia memenuhi kod bangunan kediaman.
“Kebanyakan bangunan komersial dan bangunan perumahan komersial di Malaysia sebenarnya dibina secara bercantum atau strata dengan bangunan-bangunan komersial yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara penting yang wajib diambil kira sebelum membeli kediaman berstatus komersial adalah tujuan penggunaan hartanah itu sendiri.
Menurutnya, hartanah berstatus komersial selalunya digunakan untuk tujuan perniagaan, seperti pejabat, kedai, kilang atau bangunan sewa maka kos hartanah jenis komersial juga adalah lebih tinggi sama ada dari segi harga beliannya mahupun kos utiliti, penyelenggaraan dan cukai hartanah.
“Oleh yang demikian, pembeli mesti melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap hartanah bagi memastikan struktur bangunan, sistem utiliti dalam keadaan sempurna agar tiada apa-apa isu berbangkit yang mungkin memerlukan kos pembaikan yang tinggi.
“Lokasi hartanah komersial juga hendaklah dipertimbangkan dengan teliti dari segi aksesibiliti, kepadatan penduduk dan potensi pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut bagi memahami pasaran sewa setempat dan trend kenaikan nilai hartanah komersial tersebut,” ujarnya.
“Bukan itu sahaja, pembeli hendaklah menyelidik undang-undang dan peraturan tempatan yang berkaitan dengan hartanah komersial terutamanya dari segi penggunaan hartanah, kod bangunan dan peraturan sewa hartanah tersebut agar selari dengan tujuan kegunaan hartanah itu,” ujarnya.
Tambahnya, memandangkan hartanah kediaman komersial semakin menjadi trend pemaju pada masa kini, ini bermakna permintaan kepada hartanah kediaman komersial ini semakin meningkat.
“Namun begitu, memandangkan hartanah harga kediaman komersial ini lebih tinggi dari hartanah jenis bangunan kediaman biasa maka amat penting untuk pembeli melihat kepada pulangan pelaburan.
“Pembeli harus melihat dari segi permintaan pasaran dan perkembangan ekonimi di sekitar kawasan tersebut, lokasi dan kestabilan jangka masa panjang agar pembelian tersebut tidak membebankan pembeli,” tambahnya.