Semalam saya dapat satu panggilan telefon daripada Encik Abu (bukan nama sebenar). Beliau memberitahu bahawa beliau baru saja beli sebuah rumah dua tahun lepas namun tahun ni dah jumpa rumah yang lebih menarik perhatian. Katanya, beliau berhajat nak beli rumah yang kedua tersebut tapi nak cuba jual rumah pertama tu kepada kawan beliau terlebih dahulu.

Saya pun tanya, rumah yang baru dibeli dua tahun lepas tu rumah apa ya? Katanya rumah tersebut rumah kos rendah di Selangor.

Saya juga tanya, masa membeli rumah tersebut, adakah pakai duit poket sendiri ( by cash) atau lelong atau melalui pinjaman bank. Kata Encik Abu, beliau beli guna pinjaman Bank.

Saya tanya lagi, siapa kawan yang berminat nak beli rumah tersebut? Katanya kawan sekerja. Bila tanya kerja apa, katanya kerja kerajaan macam beliau di Selangor. Pasangannya juga seorang cikgu.

Saya menggeleng kepala.

Antara syarat untuk membeli rumah kos rendah di Selangor adalah pendapatan pembeli dan pasangan tidak lebih dari RM 5,000 atau RM 7,000 bergantung pada harga rumah tersebut. Dah sah pendapatan kawan Encik Abu dah melebihi had. Encik Abu juga perlu pastikan bahawa kawan beliau tidak mempunyai sebarang hartanah di Selangor kalau nak beli rumah kos rendah.

Saya juga sempat pesan kepada Encik Abu bahawa Encik Abu perlu fikirkan beberapa isu lain seperti:

1) Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ataupun RPGT yang akan dikenakan ke atas Encik Abu sebab nak lupuskan hartanah yang dibeli kurang dari 6 tahun. Makan ribu-ribu tu.
2) Baki pinjaman perumahan Bank yang masih banyak. Jadi harga rumah yang ingin dijual kepada pembeli perlulah mengambil kira baki hutang beliau terlebih dahulu. Bahagian ini Encik Abu perlu buat pertanyaan terus kepada Bank.
3)Deposit beli rumah baru. Mampu tak rasanya bayar kalau pada masa yang sama perlu bayar Cukai CKHT kepada LHDN?
4) Pembelian rumah kedua pula biasanya akan dikenakan cukai duti setem kepada LHDN yang juga akan makan ribu-ribu.

Selepas saya terangkan semua isu di atas, akhirnya Encik Abu pun kata ‘Baiklah Puan Lawyer, nanti saya bincang dengan isteri balik semula”

Hihihi comel kan? Macam tu barulah comel, bincang dengan pasangan apabila nak buat apa jua keputusan sebab semuanya akan bagi kesan kepada kita, pasangan, keluarga dan juga kewangan keluarga lalu beri kesan kepada masa depan.

Saya harap Encik Abu akan dapat membuat keputusan yang tepat, Inshaa Allah.

Sekian kata daripada Peguam,
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Izzati, Aqilah, Annisa & Associates

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *