Topik pada kali ini ringkas. Saya bakal menjawab soalan simple yang selalu ditanya oleh pihak pembeli mahupun pihak penjual apabila ingin membeli/menjual rumah.
Persoalan yang nampak simple ini selalu timbul akibat kekeliruan masyarakat yang masih belum jelas tentang apa itu bayaran cukai stamp duty dan apakah cukai CKHT.
Jom lihat apa perbezaannya!
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Stamp duty merujuk kepada cukai duti setem yang harus dibayar oleh pihak Pembeli (Purchaser) apabila beliau ingin membeli sebuah hartanah. Duti setem ini akan dikenakan mengikut harga belian hartanah tersebut. Posting saya sebelum ini ada menjelaskan dengan lebih lanjut apa itu cukai duti setem termasuklah cara pengiraannya.
Namun berbeza pula bagi cukai CKHT. CKHT adalah ringkasan bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah atau dalam bahasa mat sallehnya ‘Real Property Gain Tax’ (RPGT). CKHT ini pula adalah cukai yang harus dibayar oleh pihak Penjual/Pelupus memandangkan pihak Penjual yang akan mendapat keuntungan daripada penjualan hartanah mereka.
Kedua-dua cukai ini mempunyai kadar yang tertentu bersama remit mahupun pengecualian yang tertentu, tertakhluk kepada permohonan yang dibuat oleh Pembeli dan Penjual mengikut borang dan saluran yang betul.
Kegagalan melunaskan pembayaran kedua-dua cukai ini bakal menyebabkan kedua-dua pihak dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jadi disebabkan itu, penting bagi kedua-kedua Pembeli dan Penjual untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana mereka harus membuat bayaran bagi cukai masing-masing.
Sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan merasa keliru mahupun mempunyai sebarang persoalan, seharusnya soalan bolehlah ditanya kepada Agen Hartanah (REN) mahupun Peguamcara yang mengelolakan urusan jualbeli hartanah Tuan dan Puan.
Sekian kata daripada peguam,
Nur Aqilah Zainal Abidin