Selalu kita dengar cerita, bila seorang teruna berkenan benar dengan seorang dara, si teruna akan hantar rombongan merisik dan kemudian membuat pinangan. Tapi pihak rombongan merisik dan meminang takkanlah datang dengan tangan kosong kan? Mesti ada bawa sebentuk cincin utk disarungkan ke jari manis si anak dara. Pemberian cincin tu bukanlah setakat sebab si dara sukakan emas semata, tapi ada misi yang lebih hebat daripada itu di pihak si teruna. Kalau dah sarung cincin di jari, tandanya si teruna dah cop si anak dara. Tiada siapa boleh berani cuba-cuba masuk line bak kata orang tua-tua.
Kaveat ni samalah macam fungsi cincin yang disebut di atas. Mudahkan cerita, apabila seseorang berminat untuk membeli sesebuah hartanah, pasti akan di risik (riki-riki bak kata orang sekarang), lepas dah setuju dengan details hartanah, si pembeli pun buat perjanjian jualbeli rumah dengan penjual. Lepas tu apa? Lepas tu bayar deposit lah, sayang! Nak beli rumah, mestilah kena ada duit kan.
Okay, deposit dah bayar! Duit dah berapa ribu habis ni. Kalau penjual tiba-tiba pergi jual rumah tu pada orang lain macam mana? Hmmm..
Apa susah? Masukkan lah Kaveat ke atas hartanah tersebut! Apabila dah bayar deposit, pembeli dikira mempunyai hak kepentingan ke atas tanah, jadi pembeli boleh mendaftar Kaveat di Pejabat Tanah.
Jum kita lihat apa itu Kaveat?
Kaveat atau dalam bahasa Inggeris ialah ‘caveat’ merupakan satu bentuk sekatan atau halangan yang di masukkan oleh pihak berkepentingan ke atas sesebuah hartanah. Apabila Kaveat dimasukkan ke atas hartanah tersebut, ia akan menyekat sebarang urusniaga dengan tanah selagi tempoh Kaveat belum berakhir.
Siapa yang boleh masukkan Kaveat?
Sesiapa yang mempunyai hak kepentingan ke atas Kaveat boleh lah memasukkan Kaveat. Pembeli yang telah membayar deposit boleh memasukkan Kaveat. Pendaftar juga boleh measukkan Kaveat bagi pihak / badan yang mempunyai kepentingan ke atas tanah.
Berapa lama tempoh Kaveat?
Sesuatu Kaveat mempunyai tempoh sekatan selama 6 tahun. Sekiranya Kaveat tidak dilanjutkan tempoh selepas 6 tahun, Kaveat tersebut akan tamat secara automatik! Walaubagaimana pun, tempoh Kaveat boleh dilanjutkan dengan membuat bayaran fi ke Pejabat Tanah.
Ada berapa jenis Kaveat?
Menurut Kanun Tanah Negara, terdapat beberapa jenis Kaveat iaitu:
- Kaveat Persendirian;
- Kaveat Pendaftar;
- Lien Kaveat (selalunya dimasukkan oleh pihak Bank);
- Kaveat Amanah.
Bagaimana nak masukkan Kaveat ke atas hartanah?
Senang saja! Bagi Kaveat Persendirian, seseorang hanya perlu pergi ke Pejabat Tanah dan menunjukkan bukti hak kepentingan yang ada ke atas tanah tersebut. Kemudian, isi Borang 19B untuk memasukkan Kaveat bersama-sama dengan bayaran fi.
Untuk menarik balik semula Kaveat, hanya perlu mengisi borang 19G di Pejabat Tanah.
Sebelum nak membeli rumah, macam mana saya nak tahu kalau rumah tu dah pernah ada Kaveat?
Apa yang boleh dilakukan adalah, pergi ke Pejabat Tanah dan lakukan carian/land search di Pejabat Tanah. Hanya bawa sebatang pen untuk isi borang carian, kemudian isikan nombor hakmilik hartanah tersebut serta buat bayaran di Kaunter. Sekiranya ada Kaveat, Kaveat akan tertera pada helaian carian yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah. Itu sahaja!
Jadi bagi sesiapa yang nak menjamin kepentingan ke atas sesebuah hartanah, jangan lupa sarungkan ‘cincin’ Kaveat ke atas hartanah tersebut ya. Caranya pun mudah dan bukanlah rumit sangat.
Semoga sharing saya pada hari ini dapat memberi manfaat buat semua.
Jom kongsikan ilmu ini kepada saudara-mara dan sahabat handai.
Sehingga bertemu lagi dalam sharing yang akan datang, inshaa Allah.
Selamat menyebar ilmu!
Peguam Hartanah